Thursday, August 27, 2009

khutbah wida'..

Khutbah terakhir Rasulullah SAW

Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9
Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda
menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi
dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku
tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua
selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini
dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini
pada hari ini.

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini
sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai
amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang
lain tidak menyakiti kamu lagi.. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan
menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala
amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan
yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia
telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara
besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam
perkara-perkara kecil.

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu,
mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka
menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak
diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah
wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka
kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.
Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh
memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan
dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini,
sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan
Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah
ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim
adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak
seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa
dan beramal saleh.

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan.
Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang
selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia,
nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku
sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua
perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti
kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah
Al-Qur'an dan Sunnahku.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada
orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka
yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku
sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."


madzul, jiwa hamba

No comments:

Post a Comment